Sambutan Hari Peringatan 2010 di SMK IJ Convent
Pada 6 Mac 2010 iaitu pada hari Sabtu, Persatuan Pandu Puteri SMK (P) Sultan Ibrahim telah menghantar tiga orang ahli Pandu Puteri Remaja untuk menyertai Sambutan Hari Peringatan yang bertempat di dewan SMK IJ Convent. Ahli-ahli tersebut ialah Gurpreet Kaur a/p Santokh Singh (5SN1), Kong Leonie (5SN1) dan How Xin Yun (5SN3) yang telah diiringi oleh Cik Ng Yin Yin.
Setibanya di SMK IJ Convent, kami telah mendaftarkan diri dan berkumpul di dewan sementara menunggu sambutan ini bermula. Pada pukul 8.30 pagi, kami telah menjalankan upacara menaikkan bendera serta menyanyikan Lagu Dunia dengan iringan muzik. Setelah itu, ucapan oleh puan pengetua SMK IJ Convent yang juga merupakan guru pemimpin Persatuan Pandu Puteri sekolahnya telah disampaikan.
Perutusan tentang Hari Peringatan 2010 juga telah dibacakan. Tema Hari Peringatan pada tahun ini merupakan ‘Bersama Kita Membasmi Kemiskinan dan Kelaparan’. Selepas itu, lagu ‘Thinking Day’ telah dinyanyikan secara beramai-ramai. Kutipan wang untuk dana Hari Peringatan juga telah dijalankan oleh beberapa ahli Pandu Puteri Remaja SMK IJ Convent. Seterusnya, aktiviti ‘ice-breaking’ telah dijalankan melalui permainan-permainan seperti ‘Knots’, ‘Bing Bong’ dan ‘The Haha Game’.
Sebelum tamat, penyampaian sijil penyertaan dan penghargaan kepada wakil-wakil setiap sekolah yang menyertai telah dilaksanakan. Akhir sekali, sebelum pulang satu sesi penggambaran telah dijalankan sebagai kenangan.
Kesimpulannya, saya berharap ahli-ahli Pandu Puteri sekolah kami akan menyertai lebih banyak aktiviti Pandu Puteri serta mendapat faedah dan manfaat daripadanya.
Terima kasih.
Laporan disediakan oleh, 17 April 2010.
Kong Leonie.