LAWATAN PERSATUAN PANDU PUTERI SMK(P) SULTAN IBRAHIM, JOHOR BAHRU KE SINGAPURA

LAPORAN LAWATAN PERSATUAN PANDU PUTERI SMK(P) SULTAN IBRAHIM, JOHOR BAHRU KE SINGAPURA
            Pada 19 hingga 20 Februari 2010 yang lalu, seramai 16 orang ahli Pandu Puteri diiringi oleh 2 orang guru pemimpin Pandu Puteri dari SMK(P) Sultan Ibrahim, Johor Bahru telah mengikuti lawatan Persatuan Pandu Puteri ke Singapura.  Sesungguhnya, tujuan lawatan ini diadakan adalah untuk menyambut Hari Peringatan Peringkat Antarabangsa di Singapura pada 20 Februari 2010. Pada 19 Februari bersamaan dengan hari Jumaat, ahli Pandu Puteri telah berkumpul di sekolah pada pukul 10.00 pagi sebelum bertolak ke Singapura.
            Pada pukul 10.30 pagi, kami telah bertolak ke Immigration Check Point. Seterusnya, pada pukul 11.00 pagi, kami telah tiba di Kastam dan Imigresen Singapura. Pada pukul 12.00 tengah hari pula, kami telah tiba di Pulau Sentosa. Selepas itu, kami telah menaiki bas menuju ke Imbiah Lookout, Pulau Sentosa pada pukul 12.10 tengah hari . Kemudian, pada pukul 12.30 tengah hari, kami telah berhenti makan di Subway Corner dan Food Court. Sememangnya, kami sungguh terpegun dengan hiasan yang sugguh cantik di hadapan Images of Singapore.
            Selanjutnya, kami mengambil kesempatan untuk bergambar di hadapan Tiger Sky Tower. Pada pukul 1.20 petang, kami telah tiba di Sentosa 4D Magix. Selepas itu, kami telah menonton wayang di Teater 4D Singapura. Teater ini merupakan teater 4-dimensi yang pertama dibina di Asia Tenggara. Saat-saat tersebut sungguh menyeronokkan kerana terdapat tiupan angin yang kencang, semburan air dan teknik pencahayaan yang amat menarik sepanjang wayang tersebut. Tempoh masa bagi wayang tersebut adalah selama 20 minit.
            Pada pukul 2.00 petang, kami menunggu giliran di hadapan bahagian Extreme Log Ride. Pada pukul 2.25 petang, kami memasuki Sentosa Cineblast untuk ‘4D Roller-Coaster Stimulation Ride’. Sentosa Cineblast ini merupakan ‘stimulation ride’ 4D yang pertama di Singapura. Tidak dapat disangkal lagi bahawa pengalaman tersebut sungguh unik lantaran kami berasa seolah-olah berada di dalam ‘roller-coaster’ yang sebenar. Tempoh masa bagi ‘stimulation ride’ tersebut ialah 25 minit.
            Seterusnya, kami telah pergi ke bahagian Luge pada pukul 3.15 petang. Kami telah diwajibkan untuk memakai topi keledar untuk memastikan keselamatan kami. Kami memandu ‘luge’ tersebut di trek konkrit sepanjang 650 meter. Selain itu, kami juga telah merebut peluang keemasan untuk menikmati keindahan pepeohon hijau berlumba menghulurkan pucuknya ke langit dalam ‘sky ride’. Pada pukul 4.00 petang, kami berhimpun kembali selepas ‘Luge dan Sky ride’. Pada pukul 5.00 petang , kami berada dalam perjalanan di dalam MRT.
            Selepas itu, kami telah menaiki bas menuju ke masjid untuk pelajar Islam bersembahyang pada pukul 5.45 petang. Pada 6.15 petang, kami telah tiba di pusat beli-belah Vivo City. Kemudian, kami menjamu selera di Food Court Vivo City pada pukul 7.00 petang. Pada pukul 9.00 malam, kami tiba di Camp Christine, Jalan Bahtera. Semua ahli Pandu Puteri telah berhimpun di Olave Hall. Selepas itu, pada pukul 9.15 malam, kami memasuki dormitori dan seterusnya membersihkan diri sebelum tidur pada pukul 10.30 malam.

            Pada 20 Februari 2010, kami telah bangun pada pukul 7.30 pagi. Selanjutnya, kami mengemaskan barangan dan keluar dari dormitori pada pukul 8.45 pagi. Pada pukul 9.00 pagi, kami telah bersarapan di Olave Hall bersama-sama ahli Pandu Puteri dari negeri lain. Selepas itu, sesi penggambaran diadakan bagi pemimpin dan ahli Pandu Puteri negeri Johor. Kami juga bergambar di hadapan  dormitori kami yang bernama Sangam yang merupakan pusat dunia ke-4 yang terletak di Poona, India.
            Pada pukul 10.30 pagi, kami berjalan menuju ke Serambun Camp yang terletak berdekatan dengan Camp Christine. Tempat ini seluas 12 hektar dan merupakan tempat melatih ahli pengakap sebelum mnyertai National Service (NS). Kami telah diberi taklimat oleh Encik Azlan dan Encil Leo. Sepanjang taklimat tersebut, kami telah melihat halangan yang perlu ditempuhi oleh para peserta. Di samping itu, kami juga telah dibawa ke Sands Training Institute. 
            Pada pukul 12.00 tengah hari, kami telah bertolak ke Singapore Indoor Stadium dan telah tiba di stadium tesebut pada pukul 12.30 tengah hari. Pada hari tersebut, ahli Pandu Puteri dari pelbagai negara berkumpul untuk menyambut “Thinking Day”. Sambutan Thinking Day pada tahun 2010 sungguh meriah kerana menandakan 100 tahun penubuhan Persatuan Pandu Puteri. Kami telah mengambil tempat di stadium dan seterusnya menonton persembahan daripada ahli Pandu Puteri Singapura sementara menunggu ketibaan Mrs. SR Nathan(Patron of Girl Guides Singapore) dan Mrs Joy Balakrishnan ( President of Girl Guides Singapore).
            Sambutan tersebut telah dimulakan dengan penyampaian sijil bagi pertandingan membuat kain rentang. Seterusnya,  ‘Puan Nor Aishah Honour Award’ iaitu gangsa dan perak telah disampaikan. Selepas itu, Ketua Pesuruhjaya Singapura telah meyampaikan ucapan beliau. Sambutan diteruskan dengan penyampaian ‘Puan Nor Aishah Honour Award’ iaitu emas. Majlis dimeriahkan lagi dengan upacara pemotangan kek oleh Mrs. SR Nathan. Kemudian WTD  Paegant bahagian 1 diadakan iaitu tentang permulaan pergerakan Pandu Puteri. Dalam WTD  Paegant bahagian 2 pula, persembahan tentang penyebaran Pandu Puteri ke seluruh dunia telah diadakan. WTD  Paegant bahagian 3 adalah tentang kesan Pandu Puteri manakala WTD  Paegant bahagian 4 pula adalah tentang Ke Arah Kemajuan. Majlis telah berakhir pada pukul 2.45 petang. Kami juga sempat bertukar-tukar cenderamata dengan rakan Pandu Puteri dari negara lain seperti Thailand, Singapura dan United Kingdom.
            Pada pukul 3.00 petang, kami telah menjamu selera di stadium. Pada pukul 3.30 petang, kami telah bertolak dari stadium menuju ke Kastam dan Imigresen Singapura. Selepas itu, kami telah tiba di sekolah pada pukul 4.30 petang. Menerusi lawatan ini, kami dapat menjalinkan hubungan silaturahim bersama-sama ahli Pandu Puteri lain baik dari negara Malaysia mahupun dari negara lain. Kami dapat mengetahui secara terperinci tentang sejarah penubuhan Persatuan Pandu Puteri. Sementelahan pula, kami juga berjaya memperoleh peluang untuk menyambut Hari Peringatan Peringkat Antarabangsa yang juga menandakan 100 tahun penubuhan Persatuan Pandu Puteri.Lawatan ini juga telah mengeratkan kemesraan sesame pemimpin dan ahli Pandu Puteri.
            Tuntasnya, pengalaman yang diperoleh menerusi lawatan ini sungguh berharga  dan seterusnya menjadikan kami ahli Pandu Puteri yang lebih berkomited dalam aktiviti kepanduan. Lantaran itu, diharapkan agar lawatan seperti ini akan diadakan lagi pada hari muka untuk melahirkan ahli Pandu Puteri yang berwawasan dan berteknorat.
Disediakan oleh,                                                                                               
26 FEBRUARI 2010
(KOTHAI A/P MOHHAN)